Ulasan Buku

Isnin, 9 Julai 2012

Tips Untuk Suami 2 : Panggilan Mesra

1. Pertama : Memilih kata-kata yang baik

Suami soleh akan pandai memilih kata-kata yang indah lagi baik, serta dirangkum dengan ungkapan yang menarik. Sabda Rasulullah SAW :

"Kata-kata yang indah lagi baik adalah sebahagian dari sedekah." (HR Bukhari & Muslim)

Perkataan yang baik, di dunia akan terasakan sebagai cinta kasih dan pengikat jalinan persaudaraan. Hanya orang kafir sahaja yang suka berbicara kotor dan jahat.

2. Kedua : Penuh perhatian terhadap lawan bicara

Apabila orang yang berbicara menunjukkan penghargaan, penghormatan, raut muka berseri lagi gembira, dan kelembutan serta perhatian penuh, tentu lawan bicaranya akan merasa senang dan memberi tindakbalas pertuturan tersebut. Sebaik-baik orang yang seharusnya mendapatkan penghargaan seperti itu adalah si isteri. Kerana itu, tidak selayaknya seorang suami berbicara dengan isterinya disertai sikap tidak peduli, bongkak, sombong, atau memalingkan perhatian sebagaimana lazimnya seorang tuan berbicara dengan hamba di zaman jahiliah. 

3. Ketiga : Berbicara dengan jelas dan perlahan

Apabila seorang suami berbicara dengan isterinya, hendaklah dengan ucapan yang jelas, perlahan, mudah diterima, dan dengan suara yang lembut. Jangan bersuara dengan berteriak-teriak, atau terlalu perlahan hingga sulit difahami. 

Tergesa-gesa dalam berbicara seringkali mengakibatkan isteri merasa bingung dan resah, terutama dalam pertuturan berkaitan dengan masalah tanggungjawab, berita tidak menyenangkan, atau berita kurang baik. 

Sukar bagi isteri menangkap dan bertindak balas terhadap percakapan suami yang tidak jelas atau tergesa-gesa yang akhirnya menyebabkan masalah komunikasi yang mungkin mengakibatkan persepsi negatif yang lain. Contohilah cara Rasulullah berbicara dengan para isteri Baginda.

4. Keempat : Memanggil dengan nama yang manis

Hendaklah suami memanggil isterinya dengan panggilan yang paling disukai isterinya. Hal ini merupakan ungkapan kasih sayang, kemesraan, serta penguat jalinan cinta. Umar Al-Khattab menegaskan :

"Ada tiga hal yang dapat menjernihkan cinta kasih antara kamu dengan saudaramu. Memberikan salam setiap kali bertemu, melapangkan tempat duduk dalam majlis dan memanggil dengan panggilan manis yang menjadi kesukaannya."

Allah SWT mencela orang yang suka memanggil dengan panggilan yang buruk:

"Dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan yang buruk sesudah iman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka itulah orang-orang yang zalim." (Al-Hujurat, Ayat 11)

Apabila memanggil isterinya, seorang suami soleh pasti akan memilih panggilan yang manis atau dengan gelaran yang paling menyenangkan pendengarannya. Misalnya, wahai isteriku nan cantik, isteriku tercinta. Atau dengan gelaran indah yang diambil dari nama anak si buah hati seperti Ummu Firadau, Ummu Naufal atau Ummu Iqbal.

5. Kelima : Memanggil dengan panggilan yang manja.

Sikap manja adalah bahagian dari hiburan yang menyenangkan lagi dibenarkan agama. Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW memanjakan isteri-isterinya. Beliau memanggil Aisyah selalu dengan suara lembut dan halus, yang tentu dengan maksud memanjakannya. Aisyah menerangkan, bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW memanggilnya : 

"Wahai Aisy (yang hidup), malaikat Jibril menyampaikan salam untukmu.". Jawabku : "Salam kembali untuk Jibril, semoga Allah mencurahkan kesejahteraan dan kebahagiaan kepadanya. Wahai Rasulullah, engkau melihat apa-apa yang aku tidak melihatnya." (HR Bukhari dari Aisyah).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...